Tuesday, 24 July 2012

Soal Jawab Kemuskilan di Hati : Sah atau Batal Puasa


1. Memberus Gigi Ketika Berpuasa
Soalan
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.



2. Masuk Air Wuduk ke Hidung dan Telinga Ketika Puasa 
Soalan
Bagaimana pula jika kita sudah terbiasa memasukkan air ke dalm hidung ketika mengambil air sembahyang? Begitu juga, ketika mandi wajib selepas masuk waktu subuh kerana berjimak di malam sebelumnya, kita dikehendakki  meratakan air ke seluruh kulit. Bagaimana kita hendak meratakan air ke dalam cuping telinga? Dikhuatiri air akan termasuk ke dalam telinga?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan
Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk pada bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa, kerana memasukkan air disini bukanlah menyedutnya hingga ke dalam tetapi cukup saja dengan membersihkan rongga hidung tersebut. Begitu juga dengan membasuh telinga, cukup membasuh diluarnya saja tidaklah sampai memasukkan air ke dalam rongga telinga bagi menghilangkan dahaga.


3. Berjimak Ketika Masuk Subuh Bulan Ramadhan
Soalan
Suami isteri berjimak semasa waktu azan subuh dibulan puasa dan kemudian mandi wajib bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan subuh maksudnya puasa itu bermula?
Amat Unus, KL
Jawapan
Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajarpun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi. Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.
Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.


4. Mimpi (Inzal) di Malam Ramadhan 
Soalan
Apakah hukumnya sekiranya apabila di dalam bulan ramadhan, seseorang itu tidur di malam hari dan apabila terjaga di waktu pagi (dah terbit matahari) dan dah mula berpuasa, di dapati air mani terkeluar dari kemaluannya. Bolehkah dia meneruskan puasanya dan sahkah puasanya itu?
Anwar,JB
Jawapan
Jika kita bermimpi di malam bulan Ramadhan, dan baru tersedar ketika bangun pagi, maka segeralah mandi wajib, kemudian teruskanlah berpuasa. Sebab berjimak ataupun bermimpi pada malam hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Bahkan setengah ulama berpendapat bermimpi pada siang Ramadhan pun tidak membatalkan puasa namun ia harus segera mandi wajib.



5. Mimpi (Inzal) Di siang Hari Ramadhan
Soalan
Soalan saya ialah adakah batal puasa seseorang itu sekiranya terkeluar air maninya semasa dia tengah 
tidur?
Mat, KL
Jawapan
Bermimpi dalam berpuasa sehingga keluar mani tidaklah membatalkan puasa. Dalam hukum ini tidak ada perselisihan pendapat para fuqaha.

6. Suntikan Doktor ketika Puasa 
Soalan
Saya telah diserang penyakit gatal-gatal di badan. Apabila ke kelinik untuk mendapatkan rawatan, doktor 
telah mengenakan suntikan kepada saya. Apakah puasa saya dikira batal kerana suntikan itu?
Mazlan, KL
Jawapan
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memasukkan ubat dengan suntikan ketika siang bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Diantara yang menyokong pendapat ini iaitu Ibn Hazm. Namun setengah ulama yang lain membatalkannya. Bagi kami hal ini melihat keadaan, jika suntikan itu terpaksa dilakukan maka ia termasuk dalam darurah dan tidak membatalkan puasa.

7. Memakai Gincu di Bulan Ramadan
Soalan
Pada bulan Ramadhan ini apakah hukumnya kalau seorang wanita ketika berpuasa memakai gincu 'Lipstik'?
Norafida, KL
 Jawapan
Wanita yang berhias diri seperti memakai wangian, lipstik dan sebagainya ketika ke luar rumah hukumnya berdosa, tak kiralah bulan biasa ataupun bulan Ramadhan. Kerana perbuatan seperti itu hanya dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman jahiliyah. Namun berhias untuk menyenangkan hati suami, wajib hukumnya, itupun hindarkan memakainya ketika di siang bulan Ramadhan.

8. Menyedut Ubat (inhaler) Ketika Puasa
Soalan
Saya salah seoarang pesakit asthma (lelah) dan sekarang saya sudah mengunakan sejenis ubat (inhaler) ubat itu saya perlu sedut setiap hari. Adakah batal puasa saya jika saya menyedut ubat itu?
Aje, Alor Setar
Jawapan
Para salafussoleh tidak pernah mengenali jenis ubat dan kaedah rawatan melalui cara ini, ia merupakan satu sistem perubatan yang baru. Perkara ini mungkin identik penggunaan celak ketika puasa. Celak dan ubat titis air mata jika digunakan secara berlebihan sehingga terasa di kerongkong hukumnya membatalkan puasa. Begitu juga halnya dengan gas penyakit lelah ini, jika cecairan yang kita masukkan ke dalam mulut itu terasa di kerongkong, maka dapat menyebabkan membatalkan puasa.
Walaupun begitu berusahalah untuk menahan diri ketika siang bulan Ramadhan untuk tidak memakai cecair atau ubat athma ini. Jika keadaan terpaksa dan sangat memudaratkan sedangkan penggunaannya sekadar perlunya saja maka ia tergolong rukhsah (keringanan ) yang dibolehkan.


9. Lafaz Niat yang Betul
Soalan
Antara lafaz niat berikut: 
1. Sahaja aku puasa esok hari dalam bulan ramadhan fardhu ke atas ku kerana Allah Taala.
2. Sahaja aku puasa fardhu ramadhan esok hari kerana Allah Taala.
Yang manakah yang betul?
Junior, BP
Jawapan
Kedua-dua lafaz itu betul kerana mengandunig pengertian yang sama cuma redaksi bahasanya yang berbeza.



10. Jimak Waktu Siang Bulan Ramadhan
Soalan
Saya terdapat kemusykilan persetubuhan (suami/isteri) di bulan puasa di siang hari: Ada pendapat mengatakan dibenarkan (jika terlalu tak tahan) melakukannya setelah berbuka puasa dahulu, tidak dikenakan kifarat. Dan ada pula pendapat mengatakan walau apapun keadaan seseorang dilarang sama sekali melakukannya samaada berbuka dahulu atau tidak tetap akan dikenakan kifarat?
resah, KL
Jawapan
Apabila seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, wajib atasnya membayar kaffarah yakni memerdekakan sorang hamba, jika tidak sanggup maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup juga hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Abu Hurairah berakata;
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Saya telah binasa ya Rasulallah". 
Rasulullah SAW bertanya: "Apa yang membinasakan engkau ?". 
Dia menjawab: "Saya telah menjimak isteri saya di bulan Ramadhan". 
Maka Rasulullah SAW bertanya: "Apakah engkau sanggup berpuasa dua bulan berturut-turut ?". 
Dia menjawab: "Tidak". 
Rasulullah SAW bertanya lagi: "Apakah engkau sanggup memberi makan 60 orang miskin ?". 
Dia menjawab: "Tidak". 
Kemudian dia duduk di majlis Nabi dan dibawalah kepada Nabi suatu bekas yang berisi 17 gantang kurma. Bersabda Nabi kepadanya: "Sedekahkanlah kurma ini". 
Orang itu bertanya: "Apa kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Tidak ada di antara dua pinggir kota Madinah yang lebih berhajat daripada kami". 
Maka tersenyumlah Nabi hingga nampaklah geraham baginda dan bersabdalah Rasulullah SAW: "Pulanglah dan berikan kurma ini kepada keluargamu". (Riwayat Jamaah)
Hadis ini menyatakan bahawa diwajibkan kaffarah atas orang yang merosakkan puasanya dengan melakukan jimak. Menurut Imam Ahmad dan sebahagian pengikut mazhab Maliki, wajib juga kaffarah atas orang yang lupa bahawa dia berpuasa. Sebab Rasulullah SAW setelah mendengar pengaduan Salamah Ibn Sakhar itu baginda tidak meminta penjelasan apakah ia melakukan dengan terlupa ataupun dengan sengaja.


sumber rujukan


Berminat dengan sebarang Vitamin Shaklee boleh hubungi Ena : 012 2449373 (whatsapp)

1 comment:

Thank you and Come Again...
Love you all mmuahhh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright @ Zarena Heeney 2013 | All Right Reserved | Designed By Shahada Fauzi